Jumaat, 22 Januari 2010

Bukan Islam dijemput hadiri Muktamar PAS

Kelantan dijangka menjadi tuan rumah Muktamar Agung PAS ke-56 Jun ini dan buat pertama kali akan menjemput pemimpin bukan Islam menyertainya.

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata pendekatan baru itu bertujuan agar pemimpin bukan Islam mengetahui dengan jelas matlamat perjuangan PAS yang berasaskan ajaran Islam.


"Kita akan menjemput pemimpin bukan Islam seperti Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng (kiri), Menteri Pelancongan, Datuk Seri Ng Yen Yen (kanan) dan beberapa pemimpin lagi supaya mereka turut mengulas dan memahami dengan jelas mengenai agama Islam seperti yang diperjuangkan oleh PAS," katanya dalam kuliah Jumaat di Kota Baharu.

Menteri Besar Kelantan itu berkata beliau juga akan menyediakan buku terjemahan daripada kitab tulisan ulama terkenal dunia Dr Yusoff Qardawi untuk penghayatan pemimpin bukan Islam.

Khamis, 21 Januari 2010

Kelab Penyokong PAS: Pesuruhjaya & YDP mesti ambil serius

Muqqaddimah: Transformasi Kelab Penyokong PAS menjadi sayap penting membuka lembaran baru dalam PAS. Namun bagi meraih sokongan yang berterusan daripada bukan Islam, komitmen semua pihak harus digemblengkan. Menelusuri pandangan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional, Dr Mujahid Yusuf berhubung isu ini.

Kelab Penyokong PAS kini semakin berkembang dan akan menjadi sayap PAS. Bagaimana Dr melihat sokongan ahli Kelab Penyokong PAS boleh bertahan dalam pilihan raya ke 13 akan datang?

Dr. Mujahid: Kelab Penyokong PAS kini telah berkembang. Mesej yang jelas apabila Muktamar baru-baru ini, Presiden dan kepimpinan yang lain bersetuju Kelab Penyokong PAS menjadi sayap parti. Dan untuk melaksanakan sedemikian, terdapat beberapa implikasi. Kelab juga perlu distrukturkan semula dari segi keahlian dan kepimpinan di peringkat kawasan dan negeri.

Oleh kerana ia akan menjadi sayap parti, mungkin ia mesti ada perlembagaan sendiri. Dan mungkin implikasi pada tubuh badan Perlembagaan PAS sendiri yang akan mengiktiraf sebagai sayap penting. Dan kita sudah pun menjalankan penyusunan semula kelab. Sekarang ini kita sedang mengutip data.

Alhamdulillah data tersebut telah kita perolehi. Sekarang ini kita mempunyai kira-kira 10,000 ahli Kelab Penyokong PAS seluruh negara. Sebab itu saya katakan pentingnya Kelab Penyokong PAS ini kita jadikan sayap dalam PAS.

Sebagai sayap penting parti ia mempunyai peranan strategik yang mengekalkan kekuatan dan sokongan moral yang boleh mendekati masyarakat bukan Islam. Dengan adanya sayap ini, tujuannya ialah untuk mengekalkan sokongan bukan Islam kepada PAS.

Jadi golongan bukan Islam ini akan melihat PAS sebuah parti yang meletakkan bukan Islam dan satu elemen penting bukan sahaja untuk mendapat sokongan mereka tetapi memberi kedudukan yang baik kepada mereka.

Sehingga kini bagaimana sokongan negeri-negeri kepada Kelab Penyokong PAS ini?

Negeri yang terakhir menubuhkan Kelab Penyokong PAS ialah Perlis, walaupun bilangan penduduk bukan Islam tidak signifikan. Kelab Penyokong PAS tetap ditubuhkan di Perlis mungkin kerana PAS Perlis melihat kepentingan kelab itu sendiri dan mereka telah berjaya menubuhkan.

Sehingga hari ini tidak ada mana-mana negeri yang tidak ada Kelab Penyokong PAS. Kelab Penyokong PAS hari ini menjadi keperluan kepada parti. Di kawasan-kawasan khususnya negeri Perak tumbuh bagaikan cendawan.

Difahamkan terdapat sesetengah kawasan menyerahkan perkara berkaitan Kelab Penyokong PAS ini kepada Lajnah Perpaduan Nasional semata-mata dan ini menyukarkan perkembangan kelab. Sejauh mana kebenaran tersebut?

Di peringkat awal pihak yang bertanggung jawab dalam kelab ini ialah Lajnah Perpaduan Nasional. Bagaimanapun, apabila ia sudah menjadi satu keperluan strategik dan berkembang begitu pesat, akhirnya lajnah melihat keperluan untuk memastikan perkembangan ini bukan sahaja terletak atas bahu lajnah semata-mata.

Ia sebenarnya sebagai elemen penting kepada kawasan secara seluruhnya. Begitu juga di Pusat. Di Pusat sekarang ini telah kita rasai dengan perkembangan kelab dan keperluan strategik jelas tidak mampu menampung keperluan ini. Walaupun ia mengasas dan mengendali serta mentadbirnya.

Dari segi perkembangan pesat ini, apabila timbul isu 'sayap' (kelab) ia akan terbang sendiri dan menjadi elemen tersendiri, bukan hanya diperhatikan oleh lajnah tetapi sebagai elemen strategik parti. Begitu juga di peringkat kawasan.

Saya harap di kesempatan ini untuk menyampaikan mesej bahawa kelab ini apabila ia sudah muncul sebagai satu sayap parti, ia bukan hanya di bawah tugas lajnah. Ia merupakan tanggung jawab organisasi secara menyeluruh bagi memastikan perjalanan sayap ini bergerak lancar. Lajnah Perpaduan Nasional terbatas.

Justeru saya menyeru Pesuruhjaya dan Yang DiPertua PAS mengambil berat mengenai Kelab Penyokong PAS ini. Mereka sendiri yang kena mengendalikan kelab ini dan bukan menyerahkan kepada pengerusi lajnah. Dari segi penumpuan dan fokus kepada Lajnah Perpaduan Nasional perlu diberi perhatian oleh Pesuruhjaya dan Yang DiPertua Kawasan.

Bagaimana Dr melihat sokongan bukan Islam terhadap arus 16 September yang diuar-uarkan baru-baru ini?

Saya melihat masyarakat bukan Islam lebih ghairah dengan isu tersebut. Mungkin impak pilihan raya yang lalu dan momentum sokongan itu belum lagi berakhir. Ini bermakna mereka masih ghairah memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat. Dan idea 16 September itu disambut baik.

Saya sempat hadir pada sebuah forum anjuran Suaram di Pulau Pinang baru-baru ini. Hampir semua yang hadir ialah golongan Cina dan India. Dan saya melihat sambutan dan respons, mereka mengharapkan 16 September benar-benar berlaku.

Dan tidak kiralah walaupun bukan 16 September, tetapi yang penting mereka mengharapkan perubahan besar politik berlaku di Malaysia. Itu respons kaum bukan Melayu. Dan jika dilihat suasana di Permatang Pauh dalam pilihan raya kecil yang lalu, berdasarkan undian yang diperolehi Dato' Seri Anwar Ibrahim, sokongan orang Melayu meningkat.

Jadi, mungkin trend ini yang membimbangkan Barisan Nasional (BN) . Jika orang Melayu betul-betul dapat berubah, keadaan ini menjadikan BN lebih parah.

Berkenaan isu muzakarah atau muqabalah yang timbul dalam PAS baru-baru ini, adakah Dr merasakan isu ini akan menghalang sokongan bukan Islam kepada PAS?

Sudah tentu harapan besar kepada PAS ialah PAS menyertai perubahan ini. Mereka melihat PAS merupakan faktor utama yang memungkinkan perubahan ini berlaku. Apa sahaja langkah yang boleh mengalih perhatian supaya tidak berlaku perubahan itu, seterusnya dengan isu muzakarah dan muqabalah sudah tentu akan menjejaskan PAS itu sendiri.

Memang menjejaskan. Saya sebagai Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional dan wakil rakyat, sewaktu meninjau kawasan, saya mendengar luahan dan harapan mereka. Kata mereka, kalau boleh mereka mahu PAS terus bersama Pakatan Rakyat.

Ada antara mereka yang merayu, 'tolonglah pastikan PAS bersama perubahan ini'. Rayuan mereka ini memberi mesej bahawa isu PAS bermuzakarah dan muqabalah ini boleh menjejaskan perubahan. Dalam pilihan raya yang lalu, mereka tidak mahu mana-mana parti yang dikaitkan dengan Umno.

Contohnya Gerakan yang telah tumbang. Gerakan ini tidak semuanya tidak elok. Dari segi idealisme, PAS boleh berbincang dengan sesiapa. Tetapi dari segi pergerakan dan strategi buat masa ini, saya rasa lebih baik ditumpukan kepada memupuk kemenangan dan kekuatan Pakatan Rakyat. Dan sudah tentu isu yang besar dalam bab ini ialah tentang Melayu dan tentang Islam.

Tetapi kita mesti ada kekuatan dan tidak semestinya perpaduan Melayu itu ada melalui hanya dengan Umno. Perpaduan Melayu boleh berlaku dalam Pakatan Rakyat. Isu Melayu ini adalah paksi dalam kekuatan mana-mana politik. Kalau dalam Pakatan Rakyat Melayu mesti kuat, dalam BN pun Melayu mesti kuat.

Isu Melayu ini termasuk dalam perlembagaan dan sebahagian daripada sejarah. Dan jika orang menyatakan kita menyertai Pakatan Rakyat, jiwa akan lemah dan Islam akan lemah, itu tidak betul.

Islam dan Melayu sama ada BN atau Pakatan Rakyat tetap menjadi faktor yang sama. Jadi terpulang kepada kita untuk memastikan Melayu Islam itu terus terjamin dalam konteks yang lebih prinsipal daripada emosi dan sentimen.

Apabila Kelab Penyokong PAS sudah menjadi sayap parti, bagaimana dengan isu keahlian bukan Islam.

Menjadi sayap parti tidak semestinya mensyaratkan keahlian penuh. Ia masih menjadi ahli kepada sayapnya sahaja dan di waktu yang sama terikat dengan strategi parti secara menyeluruh. Isu jika ditubuhkan sayap dan untuk menukar syarat keahlian, tidak menjadi isu.

Mereka boleh menjadi ahli kelab penyokong PAS. Dan apa yang berubah ialah dari segi struktur sahaja. Penyertaan kelab berada pada sayap parti. Dan tidak timbul isu kena ubah keahlian. Jika Kelab Penyokong PAS menjadi sayap parti, isu keahlian bukan Islam bukan menjadi satu keperluan dan kemestian.

Akhir sekali, apakah pesanan Dr kepada ahli-ahli Kelab Penyokong PAS dan sokongan daripada ahli PAS kepada mereka?

Apabila Kelab Penyokong PAS telah 'transform' kepada sayap parti, ahli kelab itu sendiri menunjukkan kesungguhan mereka. Ahli-ahli PAS harus melihat bagi menjayakan misi ini sebagai keperluan strategi parti dan keperluan Lajnah Perpaduan Nasional lagi.

Ahli PAS harus memastikan kelab yang wujud di bawah mereka ini diberi perhatian dan mendekatkan mereka dengan ideologi parti. Apabila mereka dekat dengan PAS, mereka bukan sahaja menubuhkan kelab tetapi pada masa yang sama mereka mengenali PAS dan ideologi perjuangan PAS.

Memang selama ini mereka menyokong PAS bukan sekadar untuk menubuhkan kelab. Cuma perlu diperkukuhkan lagi. Dan Insya-Allah apabila proses tersebut berjalan lancar dan satu seminar kepada seluruh ahli kelab kepada seluruh Malaysia akan diadakan. Kita akan mengetengahkan PAS ini kepada mereka supaya mereka melihat kesamaan mereka dengan kita sebagai bukti keyakinan mereka terhadap keadilan yang diperjuangkan oleh PAS ini.

Ahad, 13 Disember 2009

Kursus Kepimpinan LPN & KPP

Dialog Visi dan Misi LPN & KPP yang disampai oleh YB Dr Halimah ALi


Dialog 2, Pengelaman Kepimpinan Masyarakat di Kelantan yang disampai oleh En Hu Pang Chaw

Insan Bestari Melalui SPIES
(Program Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor)

Bengkel Kursus Kepimpinan LPN & KPP dianjurkan oleh Lajnah Perpaduan Nasional Negeri Selangor, LPN & KPP seluruh selangor hadir dalam Kursus 2 hari 1 malam (12-13 Dec 2009) di Pusat Latihan Penguatkuasa Selangor (PULAPES) Jugra, Banting

Sabtu, 12 Disember 2009

Penubuhan Makkal Sakti tidak ancam Kelab Penyokong PAS

Sudah tiba masa bukan Islam dibolehkan jadi ahli PAS – Mujahid

TAIPING, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Dr Mujahid Yusuf Rawa menegaskan sudah tiba masanya PAS bukan sahaja menggalakkan orang bukan Melayu menyertai Kelab Penyokong PAS malah lebih daripada itu memberikan ruang sepenuhnya untuk kaum Cina dan India menjadi ahli PAS.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu semasa membentangkan kertas kerjanya ‘Memperkasakan Kelab Penyokong PAS’ di Markaz Air Kuning dekat sini petang semalam berkata, sudah tiba masanya orang bukan Islam diterima menjadi ahli PAS seperti biasa.

Katanya, sama seperti ahli PAS lain, mereka ini nanti perlu diberi pengenalan parti iaitu sekeping Sijil Keahlian PAS dan Kad Ahli PAS seperti yang ada sekarang.

“Dengan langkah tersebut ia akan memudahkan kaum Cina dan India yang ingin menyertai PAS supaya tidak perlu lagi masuk melalui Kelab Penyokong PAS seperti sebelum ini, tetapi terus mengisi borang keahlian PAS seperti mana lazimnya,” kata beliau dalam seminar mengenainya dekat sini semalam.

Tegasnya, perkara tersebut telahpun dibincangkan dalam beberapa mesyuarat pimpinan tertinggi PAS Pusat dan Syura di mana keputusanya, majoriti bersetuju dengan pendekatan baru itu sebagai jalan memberikan penghargaan kepada orang bukan Islam untuk menyertai PAS.

Katanya, kepada mereka yang berkemampuan digalakkan turut sama aktif berjuang dalam parti, termasuk diberikan peluang menjawat jawatan melalui pemilihan Mesyuarat Jawatankuasa dan Mesyuarat Agung Cawangan dan jika perlu boleh dijadikan calon Dewan Undangan Negeri atau Parlimen.

Turut hadir, Exco Agama dan Kebajikan Haji Mohd Zainuddin Mohd Yusof merangkap Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Perak dan Naib Presiden PAS Pusat, Ustaz Haji Ahmad Awang.

http://www.harakahdaily.net

Ahad, 8 November 2009

Benarkah Masyarakat India Sudah Mula Meninggalkan PAS?




Penalist:
1. Dr Amer Saifude B Ghazali, Pensyarah Kanan, Jab Geografi, Fakulti Satera & Sains Sosial, UM
2. En K Arumugam, Co Chair, Coalition Malaysian India NGOs
3. En N Balasubramaniam, Chair, KPP kaum India

Moderator:
Sdr Rifa'udin Abd Wahab, Tim Peng LPN DPPP

Tarikh: 08 Nov 2009
Tempat: Dewan Seminar, Pejabat MP Gombak,
Taman Melawati, Selangor

Jumaat, 11 September 2009

'PAS For All' genap dua tahun hari ini

KUALA LUMPUR, 11 Sept: Hari ini, 11 September 2009, genap dua tahun slogan PAS Untuk Semua (PAS For All) dilancarkan.

Ianya adalah sebagai pelengkap kepada penubuhan Kelab Penyokong PAS (KPP) yang ditubuhkan pada tahun 2005 iaitu dua tahun lebih awal.

Ramai yang tidak mengetahui bahawa pelancarannya pada 11 September 2207 lalu adalah bersempena tarikh serangan ke atas bangunan World Trade Center WTC di Amerika yang telah mencetuskan fenomena Islam Fobia di kalangan masyarakat bukan Islam di seluruh dunia.

Malah tempias itu juga turut terpalit pada PAS, sebuah parti politik yang rata-rata mengetahui Islam sebagai dasar perjuangannya.

Fenomena tersebut sekaligus memberi kebimbangan bahawa matlamat PAS untuk menarik sokongan bukan Islam akan terbantut.

Ianya juga bakal menyukarkan lagi gerak kerja PAS sebagai sebuah parti dakwah untuk mendekati gologan bukan islam itu.

Namun siapa sangka, kehadiran slogan yang dikira agak keramat ini sejak dua tahun lalu, bukan sahaja telah berjaya menenggelamkan Islam Fobia yang cuba di doktrin barat, bahkan ianya juga telah mengubah landskap politik PAS itu sendiri.

Menyoroti kembali sejarah, sumbangan dan matlamat slogan tersebut kepada PAS dan Islam umumnya, wartawan Harakahdaily telah menemubual pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional (LPN) PAS, Dr. Mujahid Yusuf Rawa iaitu tulang belakang yang telah mencetuskan inisiatif ini bersama ahli jawatankuasa LPN yang lain.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, slogan PAS Untuk Semua, kini semakin mencapai matlamat utamanya. Impian melihat orang bukan Islam menjadi ahli PAS dan Kelab penyokong PAS menjadi sayap penting parti kini hampir direalisasikan. Kesemua pertimbangan sedang dikaji dan keputusan akan diketahui tidak lama lagi.

"Untuk pengetahuan, pada retreat PAS di Kedah baru-baru ini, jawatankuasa teknikal diketuai Ust Hassan Syukri telah membentangkan draf pertama kajian mereka. Sekarang sedang kumpul feedback (maklum balas) dari AJK Pas Pusat."

"Tapi secara dasar, tiada sebarang halangan dan masalah. InsayaAllah, awal tahun depan perkara ini kita rasa akan selesai," ujarnya.

Katanya, LPN sekarang melangkah selangkah lagi ke hadapan apabila berjaya menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengendalikan program dialog peradaban. Program ini katanya bakal menyaksikan PAS dan orang bukan Islam duduk berbincang antara lain tentang perbandingan agama, ketamadunan dan pelbagai cabang lagi.

"Kita juga menubuhkan jawatankuasa khas iaitu Dialog Peradaban untuk 'engage' dalam dialog dan wacana. Kita nak meletakkan perjuangan Islam sebagai satu keperluan masa depan dalam apa jua transisi politik dalam negara. Ianya akan menyentuh isu kemajuan sains, perbandingan agama, tamaddun dan lain-lain.

"Ini cabang baru untuk setahun akan datang. Saya sendiri ambil tanggungjawab itu," ujarnya.

Ikuti temubual penuh beliau dengan wartawan Mohd Nazri Abdullah.

H: Bagaimana tercetusnya idea untuk melancarkan slogan PAS For All ini?

M: Sebenarnya kita dalam Lajnah perpaduan Nasional LPN sentiasa memikirkan bagaimana untuk memecah tembok antara PAS dengan bukan islam.

Masalah ini lebih rumit lagi bila berlaku serangan ke atas WTC pada 11/9 sehingga menularnya fenomena Islam Fobia.

Selepas membuat sedikit kajian maka kita bersetuju lancar selogan PAS for All dan kita pilih tarikh sama dengan serangan ke atas WTC iaitu 11/9 2007 untuk melncarkan slogan tersebut.

Alhamdulillah selepas dua tahun dilancarkan kita dapati sambutan sangat menggalakkan. Kalau kita tengok logo PAS For All sekarang ini dipakai di mana-mana khusnya pada pilihanraya termasuk pada banner, baju dan lencana.

H: Selain itu, adakah matlamat lebih khusus khasnya kepada PAS itu sendiri?

M: Ya, selain untuk mengikis perasaan islam phobia, kita juga ada matlamat khusus kepada masyarakat bukan Islam negara kita.

Selain menarik sokongan mereka, kita juga ingin jadikan slogan ini sebagai medan untuk ahli PAS menyebar luaskan dakwah islam itu sendiri.

Sebab itu lah, saya fiki-fikir, akhirnya setuju dengan slogan itu dengan membayangkan bahawa pas ini adalah untuk semua. Jadi senang, slogan mudah nak faham, tak payah nak ceramah panjang.

H: Bagaimana sambutan terhadap kempen itu dan kenggotaan Kelab Penyokong PAS, KPP setakat hari ini?

M: Kelab Penyokong pas diusahakan pada tahun 2005, kini kelab ini ada di seluruh negara. Dalam daftar kita hampir 20 ribu terdiri dari masyarakat kaum india, cina, siam, iban dan terbaru kita berjaya tubuhkan kelab penyokong Pas di Tawau, Sabah.

H: KPP dilihat telah banyak memberi sumbangan khususnya kepada PAS itu sendiri, Apa komen saudara?

M: Ya sudah tentu, saya kira LPN sudah membuka satu frontier baru. Inisiatif penubuhan kelab penyokong dan selogan PAS for all ini telah diterima oleh PAS Pusat termasuk dalam ucaptama Presiden diletakkan tema khas.

Saya gerakkan mereka pada kempen pilihanraya. Kita lihat KPP diletak dalam struktor Jawatankuasa Pilihanraya Pusat JPP iaitu dalam jawatankuasa operasi jentera kempen. KPP bergerak dengan stuktur mereka sendiri, buat markas sendiri.

Kita berkempen rumah ke rumah dan umpu kepada masyarakat pengundi bukan islam dan ada pemimpin kelab yang berceramah bersama pimpinan PAS.

H: Bagaimana perkembangan usaha untuk melihat KPP diserap menjadi sayap penting PAS setadaf Dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat?

M: Perkembangan cukup menggalakkan. Sehingga hari ni kita di peringkat PAS Pusat bersedia melihatt ruang dan peluang menjadikan kelab ini menjadi sayap penting parti dengan maksud mereka ada perlembagaan sendiri di mana boleh mewakili dalam muktamar dan mesyuarat parti.

Untuk pengetahuan, retreat PAS di Kedah baru baru ini, Jawatankuasa teknikal di ketuai Ust Hassan Syukri telah bentang draft pertama, sekarang tunggu 'feedback' dari AJK pas pusat.

Secara dasar tiada sebarang halangan dan masalah. Dan lebih penting apa yang kita fokus untuk pilihanraya umum akan datang ialah, bagaimana kita boleh sediakan ruang kepada mereka bertangding atas tiket pas. Ini lah yang LPN sedang gerakkan dan asasnya adalah PAS For All.

H: Dalam dua tahun sebelum ini, slogan ini dilihat telah banyak mencipta kejayaan tersendiri. Apa pula target untuk tahun ketiga ini?

M: Sebenarnya LPN sejak dua tahun ni berkerja atas mtlamat yang jelas. Kita buat KPP mulanya susah sebab benda baru, tapi akhirnya sekarang diterima oleh ahli pas. Kita sekarang ke tahap tranformasi penting.


Saya rasa akan selesai awal tahun hadapan iaitu menjadikan KPP sebagai sayap dan entiti penting parti yang saya kira belum pernah dibuat sepanjang berpuluh tahun pas wujud. Itu fokos paling besar.

Dia tidak habis di situ, saya pun tak nak tua dengan kelab ni saje. Kita sentiasa cari ruang baru dan saya namakan ia sebagai 'The New Frontier' Kita sentiasa fokus memperkasa KPP.

Sekarang kita dah wujudkan Unit Keahlian LPN, Unit Latihan dan Bimbingan, Unit Penyelaras Kelab yang dilantik dikalangan YB kita di setiap zon iaitu utara, selatan, timur dan berat.

Kita juga menubuhkan jawatankuasa khas iaitu Dialog Peradaban untuk 'enggage' dalam dialog dan wacana. Kita nak meletakkan perjuangan Islam sebagai satu keperluan masa depan dalam apa jua transisi politik dalam negara.

Ianya akan menyentuh isu kemajuan sains, perbandingan agama, tamaddun dan lain lain. Ini cabang baru untuk setahun dua akan datang. Saya sendiri ambil tanggunag jawab itu.


H: Kita melihat kejayaan LPN menggerakkan KPP dan kempen PAS for All bukan sahaja menjadi kebanggaan ahli PAS, tetapi juga turut dicemburui oleh parti lawan. Apa komen saudara?

M: Inilah saya kira satu keunikan kelab ini, kerana ia cuba memecah tembok politik selama ini di mana PAS atau Umno yang kita kata melayu dominan, hanya lihat melayu sahaja sebagai sasaran.

Cina kita lepas kepada DAP dan PKR, Umno pula lepas kepada MCA dan GERAKAN. Dengan KPP, kita telah memecah persepsi itu, kita tak boleh lagi serahkan sesuatu kaum atas nama perkauman dia.

Kita perlu melihat sasaran kita melalui pendekatan kita, bukan parti lain. Inilah yang telah meletakkan PAS pada tahap sekarang. Kita sedang menerima sokongan oleh semua kaum. Dan semestinya parti lawan mencemburui kita.

Pengalaman saya pergi luar negara dengan Presiden, saya diminta bentang tentang hubungan kita dengan bukan islam. Gerakan Islam di sana semua terpegun sebab mereka tiada suasana itu. Kita kena pecah pemikiran ini, kita akan pelopor dalam hal ini.

H: Menjelang ulang tahun ke-2 esok, adakah LPN merancang mengadakan apa-apa sambutan?

M: Timbalan saya, Dr. Halimah adalah org kuat yang telah berusaha menjayakan kempen PAS For All ini. Dia serupa orang kanan saya lah. Saya telah diberitahu pasal sambutan ni. Cuma kita sekarang ni satunya dalam bulan puasa, kedua baru habis PRK dan lepasni kena tumpu di Bagan Pinang Pulak.

Saya kira susah untuk kita adakan sambutan esok. Saya serah kepada peringkat muslimat yang diketuai Dr. Halimah untuk buat keputusan bila nak di adakan sambutan, kami pusat ni tumpang je. Mungkin lepas puasa, ataupun dilancarkan di Bagan Pinang, sebab kita memang akan turun berkampung di sana.

H: Apakah mesej yang saudara ingin sampaikan kepada ahli PAS sempena ulang tahun kedua pelancaran slogan PAS For All ini?

M: Dengan wujudnya Pas For All dan KPP ini, ianya telah berjaya mendidik ahli PAS supaya melihat orang bukan adalah saran dakwah yang paling penting bagi kita. Kita tidak boleh sekadar bercakap kita parti dakwah sahaja.

Jadi dengan penubuhan KPP ini, LPN telah menyediakan ruang dan peluang kepada ahli PAS untuk melaksanakan tugas dakwah.

Ini adalah sumbangan besar LPN. Bukan saya nak bangga, tapi saya rasakan ini satu transformasi baru wajah politik PAS itu sendiri yang kita perlu jaga, pelihara, pupuk dan kekalkan.