Sabtu, 12 Disember 2009

Sudah tiba masa bukan Islam dibolehkan jadi ahli PAS – Mujahid

TAIPING, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Dr Mujahid Yusuf Rawa menegaskan sudah tiba masanya PAS bukan sahaja menggalakkan orang bukan Melayu menyertai Kelab Penyokong PAS malah lebih daripada itu memberikan ruang sepenuhnya untuk kaum Cina dan India menjadi ahli PAS.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu semasa membentangkan kertas kerjanya ‘Memperkasakan Kelab Penyokong PAS’ di Markaz Air Kuning dekat sini petang semalam berkata, sudah tiba masanya orang bukan Islam diterima menjadi ahli PAS seperti biasa.

Katanya, sama seperti ahli PAS lain, mereka ini nanti perlu diberi pengenalan parti iaitu sekeping Sijil Keahlian PAS dan Kad Ahli PAS seperti yang ada sekarang.

“Dengan langkah tersebut ia akan memudahkan kaum Cina dan India yang ingin menyertai PAS supaya tidak perlu lagi masuk melalui Kelab Penyokong PAS seperti sebelum ini, tetapi terus mengisi borang keahlian PAS seperti mana lazimnya,” kata beliau dalam seminar mengenainya dekat sini semalam.

Tegasnya, perkara tersebut telahpun dibincangkan dalam beberapa mesyuarat pimpinan tertinggi PAS Pusat dan Syura di mana keputusanya, majoriti bersetuju dengan pendekatan baru itu sebagai jalan memberikan penghargaan kepada orang bukan Islam untuk menyertai PAS.

Katanya, kepada mereka yang berkemampuan digalakkan turut sama aktif berjuang dalam parti, termasuk diberikan peluang menjawat jawatan melalui pemilihan Mesyuarat Jawatankuasa dan Mesyuarat Agung Cawangan dan jika perlu boleh dijadikan calon Dewan Undangan Negeri atau Parlimen.

Turut hadir, Exco Agama dan Kebajikan Haji Mohd Zainuddin Mohd Yusof merangkap Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Perak dan Naib Presiden PAS Pusat, Ustaz Haji Ahmad Awang.

http://www.harakahdaily.net

Tiada ulasan:

Catat Ulasan